Tempat menarik di Bangkok
PAPAYA Design Furniture & Studio
PAPAYA Design Furniture & Studio adalah sebuah tarikan unik di Bangkok. Nampak macam kedai antik biasa? Tidak sama sekali! Kerana ia sebenarnya bukan semata-mata kedai antik, tapi juga studio fotografi dan muzium. Barangan-barangan yang terdapat di dalamnya adalah hasil koleksi Encik Tong (pemilik PAPAYA Studio) yang telah memulakan pengumpulan barang antik sejak sekitar 25 tahun yang lalu.
90 peratus daripada ribuan koleksi antik yang dipamerkan di sini adalah didatangkan dari negara-negara Eropah.
Antara koleksi yang ada adalah seperti basikal, hasil seni, arca, figurin Star Wars, perabot antik, lampu, projektor filem, Vespa dan macam-macam lagi! Siapa pun yang memasuki studio ini pasti akan teruja melihat barangan yang disusun dengan rapi mengikut era atau gaya.
Sepanjang berada di sini, anda boleh bergambar dengan sepuas hati, tanpa sebarang bayaran, namun sekiranya anda datang dengan peralatan fotografi professional, caj tambahan akan dikenakan.
Batcat Museum & Toys
Peminat watak superhero? Kalau ya, tak patut anda lepaskan peluang untuk melawat Batcat Museum & Toys, memang sangat berbaloi. Muzium ini padat dengan pelbagai jenis permainan yang datang dari pelbagai era menjadikan ia lokasi yang menarik dilawati oleh seisi keluarga.
Jangan terkejut, bukan sikit koleksi yang dipamerkan, kerana jika dibilang kesemuanya mencecah 50,000 buah koleksi. Koleksi-koleksi ini terdiri daripada permainan, kostum, poster, komik dan sebagainya yang bertemakan superhero seperti Captain America, Ultraman, Batman, Superman, Iron Man, Thor dan lain-lain lagi watak DC dan Marvel yang wujud di dunia ni.
Di samping ini semua, ada satu sudut atau bilik yang hanya mempamerkan koleksi berkaitan Batman. Ini mungkin kerana pemilik muzium ini sendiri adalah peminat tegar Batman berbanding superhero lain.
Setelah puas melihat dunia superhero, anda boleh menuju ke kedai cenderamata muzium untuk membeli tanda ingatan sebelum pulang.
Flow House Bangkok
Sekiranya anda seorang yang berbadan fit dan suka mencuba aktiviti yang memerlukan perhatian atau konsentrasi yang tinggi, anda mesti datang ke Flow House Bangkok! Aktiviti yang dipanggil FlowRider ini sebenarnya adalah sukan luncur air, namun ia tidak dilakukan di atas ombak laut kerana di sini anda akan meluncur di atas mesin yang dipanggil FlowRider.
Mesin yang dicipta di San Diego, Amerika ini hanya wujud sebanyak 100 unit sahaja di seluruh dunia dan salah satunya adalah di A-Square Mall, Bangkok.
Nak tahu best ke tak best, percayalah, sekali cuba, pasti akan ketagih. Tak yakin boleh buat sebab tak pernah ada pengalaman bersurfing? Jangan risau, pekerja di sini akan membantu anda dengan hati terbuka.
Mengenai fasiliti di Flow House Bangkok, antara kemudahan yang disediakan adalah bilik persalinan yang luas, lengkap dengan ruang mandian, pengering rambut, ruang santai, cafe, plunge pool, games room, RipCurl store, locker, dan banyak lagi.
MahaNakhon Building
MahaNakhon Building ataupun King Power MahaNakhon merupakan bangunan yang baru sahaja dirasmikan iaitu pada tahun 2016, dengan kos binaan mencecah 18 billion Thai Baht.
Bangunan 78 tingkat ini digunakan sebagai hotel, shopping mall dan juga tarikan dek pemerhatian pada ketinggian 1,030 kaki atau 314 meter. Untuk menuju ke dek ini, anda perlu menaiki lif dari tingkat bawah dengan kepantasan hanyalah 50 saat untuk sampai. Sepanjang berada di dalam lif ini, setiap bahagian dinding lif akan memaparkan video yang menunjukkan suasana bandaraya Bangkok dalam pergerakan yang pantas. Ya, belum sampai dek lagi, dah terasa thrillnya.
Sebaik tiba di dek pemerhatian yang diberi nama Mahanakhon SkyWalk ini, anda dapat melihat panorama di sekitar bandar Bangkok dari lantai ke siling lutsinarnya tanpa sebarang halangan pada ketinggian yang cukup mendebarkan.
Tertarik untuk ke sini? Sekiranya anda merancang untuk datang, nasihat kami, datanglah dalam sekitar pukul 4 petang untuk mengelakkan mentari yang terlalu terik. Namun jauhkan juga daripada ke sini berdekatan dengan saat matahari terbenam dalam sekitar 5.30 petang kerana tarikan ini akan mula padat dengan kehadiran orang ramai.
Comments
Post a Comment